Ruang Bandar Tradisional sebagai Warisan dan Identiti Bandar
The Traditional Urban Spaces as Urban Heritage and Identity
oleh ariepdiezehn
oleh ariepdiezehn
Ruang bandar merupakan salah satu bahagian yang penting dalam bentuk struktur dan komponen ruangan (spatial) sesebuah bandar. Ruang bandar terutamanya di bandar-bandar lama dapat menunjukkan kualiti kehidupan bandar. Tekstur bandar mengintegrasikan massa (mass) dan ruang (space). Aspek-aspek yang penting dalam mengenalpasti sesuatu ruang bandar di dalam bandar ialah sosio-ruangan, geometri ruang bandar, ruang semulajadi, ruang buatan, rupa bandar, proses pensejarahan, ekologi struktur bandar, struktur dalaman bandar, morfologi bandar, ekonomi politik struktur bandar.[1] Kedua-dua ruang bandar di Bandar George Town dan Kota Bandung mempunyai sifat unik yang tersendiri. Ruang-ruang bandar tersebut mempunyai morfologi, rekabentuk dan jiwa yang tersendiri bagi melambangkan identiti bandar masing-masing.
George Town, Pulau Pinang – Enklaf ‘Pekan Melayu-Muslim’ Dan ‘Kongsi Cina’ Di Kawasan Bandar Dalam George Town
Enklaf etnik telah menjadi latar bandar yang dominan di kebanyakkan bandar-bandar lama di Malaysia. Enklaf komuniti kongsi[2] Cina dan komuniti Melayu-Muslim[3] di Bandar George Town bukan sahaja setakat pada enklaf yang istimewa malah berkait erat dengan pensejarahan awal Pulau Pinang. Latar bandar yang unik ini hanya boleh didapati di kawasan bandar dalam (inner city) George Town. Kedudukan enklaf tradisional ini pada masa kini terletak di ‘kawasan selatan’ bandar dalam. Kawasan enklaf tradisional ini secara relatifnya mempunyai keluasan yang hampir besar dengan keluasan bahagian bandar yang dirancang terlebih dahulu oleh kolonial Inggeris dalam bentuk ‘grid’. Kawasan enklaf ini dibahagikan kepada beberapa blok-blok besar yang berbentuk tidak tersusun.
Rajah 1.0: Kawasan bandar dalam George Town-tapak warisan dunia UNESCO yang terdiri daripada zon teras dan zon penampan. |
Kewilayahan dan Enklaf Komuniti
Ruang komunal (communal) menjadi pengembangan kesukuan diri, orang dalam kelompok mahu dapat mengenalpasti ruang mereka – bahagian di dalam bandar tempat mereka tinggal adalah berbeza daripada kelompok yang lain,[4] dengan demikian identiti kelompok tersebut dapat dipelihara. Sub-budaya atau keetnikan yang berbeza boleh mewujudkan pelbagai peluang, yang mana ia boleh memelihara pelbagai cara kehidupan yang berbeza dengan baik, dan sepadan sebagai halangan fizikal kebiasaannya penting dalam membantu setiap sub-budaya dan keetnikan dalam membentuk kerekter tersendiri. Dalam erti kata yang lain, halangan ruangan-fizikal ini adalah bentuk ‘sihat’ dalam mempromosikan identiti.
Enklaf etnik yang merupakan satu bentuk kewilayahan (territorially) yang dapat ‘dibaca’ dari segi ekpressi ruangan, termasuklah elemen-elemen tersurat dan/atau tersirat yang menandakan pesempadanan kewilayahan.[5] Unsur sempadan ini penting bagi sesebuah sub-budaya atau etnik ini kerana dapat menjadi kedua-dua, sama ada tujuan atau cara kepada identiti mereka. Sebagai tujuan, ia menjadi penerima pencantuman, dan sebagai cara, ia menyampaikan perbezaan.[6]
Dalam proses formasi bandar, sesebuah masyarakat barangkali ‘sangat berkemampuan' dalam mengekalkan autonomi mereka. Mereka memasukkannya dibawah bidang kekuasaan mereka dan mengawal proses formasi bandar mereka menjauhi kuasa luar yang lebih berkuasa ketika itu iaitu kolonial-syarikat. Konsep perancangan perantaraan kolonial mungkin menghasilkan sesuatu yang tidak lebih daripada usaha mengadaptasikan beberapa contoh langsung dari bandar-bandar kolonial yang telah lama wujud terlebih dahulu. ‘Grid’ adalah bentuk mudah bagi penempatan yang dibina bagi tujuan praktikal, yang mana secara lazimnya dapat dilihat di bandar-bandar kolonial.
Enklaf Pekan Melayu-Muslim
Dalam lingkungan ‘kawasan selatan’[7] bandar dalam George Town yang luas, di tengah-tengah komposisi berstruktur pelbagai pecahan ruangan bandar, Masjid Melayu Lebuh Acheh tersergam di tengahnya. Enklaf Pekan Melayu-Muslim atau juga dikenali sebagai kawasan Enklaf Muslim Lebuh Acheh telah dibuka sedekad selepas kompeni Inggeris memulakan petempatan di George Town (dahulu Tanjung Penaga) dengan keluasan asal seluas 66,000 kaki persegi.[8] Kawasan yang telah diasaskan oleh Tengku Syed Hussain[9] ini pada awal pembentukkannya adalah sebuah perkampungan masyarakat Melayu yang terbentang dari Lebuh Melayu ke Lebuh Armenian (dahulu Malay Lane). Di sekitar perkampungan ini pada ketika diasaskan adalah kawasan hutan dan belukar yang luas dan kemudiannya ditebang untuk tujuan pertanian. Hari ini kawasan Enlaf Pekan Melayu-Muslim hanya mencakupi lingkungan kawasan sekitar masjid asal (Masjid Melayu Lebuh Acheh) dan kawasan sekitar terutamanya disepanjang Lebuh Acheh, kesan daripada sisipan petempatan suku Cina di dalam kawasan ‘asal’ Pekan Melayu-Muslim.
Rajah 1.2: Kedudukan Pekan Melayu di dalam pelan lama Fort Cornwallis, George Town George Town, tahun 1798. |
![]() |
| Foto 1.2: Keadaan semasa Lebuh Acheh. Sumber: www.igeorgetownpenang.com |
Rupa bandar Enklaf Pekan Melayu-Muslim
Enklaf Pekan Melayu-Muslim ini sudah mempunyai institusi sosial dan fizikal tempatan yang lengkap dengan mempunyai sistem kepemimpinan masyarakat serta golongan ulama yang bertindak sebagai pemimpin agama dan masjid sebagai pusat fizikal-kerohanian. Corak pembangunan tempatan bertumpu kepada perletakkan masjid sebagai pusat petempatan dan bangunan lain terletak di lingkungan masjid. Di samping itu, corak pembangunan awal disekitar masjid bermula dengan bentuk ‘blok perimeter’. Enklaf Pekan Melayu-Muslim kemudiannya berkembang dengan pesat secara ‘semulajadi’ tanpa membayangkan menjadi suatu cara melintang-melalui dan memotong blok-blok bandar di ‘kawasan selatan’. Kawasan enklaf adalah berbentuk coarse grain kerana banyak blok-blok besar di dalam kawasan ini. Dalam formasi enklaf ini, pembentukkan blok-blok bandar (urban blocks) ini tidak berpandukan kepada bentuk asal ‘grid’ kolonial-syarikat seperti dibincangkan sebelum ini.
Corak jalan dan medan di kawasan enklaf adalah hasil daripada kedudukan blok. Ciri terpusat masjid - nuklues vertikal - cukup ‘berkuasa’ dalam mewujudkan rasa ruang (sense of space) disekelilingya, yang mana bangunan rumah kedai, rumah bandar, banglo kediaman, gudang dikelompok bersama di lingkungan masjid. Di dalam kawasan (compound) masjid terdapatnya halaman depan yang menjadi tempat menjalankan aktviti keagamaan dan pertemuan masyarakat malah terdapat juga beberapa buah banglo kediaman milik pemimpin masyarakat atau agama dalam ‘kompaun’ masjid.
Enklaf Pekan Melayu-Muslim ini sudah mempunyai institusi sosial dan fizikal tempatan yang lengkap dengan mempunyai sistem kepemimpinan masyarakat serta golongan ulama yang bertindak sebagai pemimpin agama dan masjid sebagai pusat fizikal-kerohanian. Corak pembangunan tempatan bertumpu kepada perletakkan masjid sebagai pusat petempatan dan bangunan lain terletak di lingkungan masjid. Di samping itu, corak pembangunan awal disekitar masjid bermula dengan bentuk ‘blok perimeter’. Enklaf Pekan Melayu-Muslim kemudiannya berkembang dengan pesat secara ‘semulajadi’ tanpa membayangkan menjadi suatu cara melintang-melalui dan memotong blok-blok bandar di ‘kawasan selatan’. Kawasan enklaf adalah berbentuk coarse grain kerana banyak blok-blok besar di dalam kawasan ini. Dalam formasi enklaf ini, pembentukkan blok-blok bandar (urban blocks) ini tidak berpandukan kepada bentuk asal ‘grid’ kolonial-syarikat seperti dibincangkan sebelum ini.
Corak jalan dan medan di kawasan enklaf adalah hasil daripada kedudukan blok. Ciri terpusat masjid - nuklues vertikal - cukup ‘berkuasa’ dalam mewujudkan rasa ruang (sense of space) disekelilingya, yang mana bangunan rumah kedai, rumah bandar, banglo kediaman, gudang dikelompok bersama di lingkungan masjid. Di dalam kawasan (compound) masjid terdapatnya halaman depan yang menjadi tempat menjalankan aktviti keagamaan dan pertemuan masyarakat malah terdapat juga beberapa buah banglo kediaman milik pemimpin masyarakat atau agama dalam ‘kompaun’ masjid.
Rajah 1.3 dan Foto 1.3: Illustrasi dan keadaan sebenar Enklaf Pekan Melayu-Muslim dengan Masjid Melayu Lebuh Aceh sebagai titik fokus kawasan. |
Selain itu, cara formasi Enklaf Pekan Melayu-Muslim adalah lebih terbuka bercanggahan dengan aliran formatif Lebuh Acheh yang mana dapat terus memasuki ke bahagian hadapan bangunan Masjid Melayu Jalan Acheh. Ini berbeza dengan cara pembentukan Enklaf Kongsi Cina yang mana pusat kompleks Kongsi dikawal oleh gerbang masuknya.[10] Keterbukaan ini, atau kelonggaran enklaf masjid adalah bertitik tolak daripada idea konsep persaudaraan sejagat (ummah) yang diterapkan dalam fahaman Islam. Malah kawasan ‘kompaun’ Masjid Melayu Lebuh Acheh dan bangunan disekelilingnya juga merupakan tanah waqaf komuniti Muslim Pulau Pinang. Dalam pandangan pengurusan waqaf masyarakat Islam, tiada pembahagian awam berlawanan dengan persendirian itu sendiri dalam hal-hal kewilayahan, dan seterusnya tiada lanjutan sub-wilayah untuk dibezakan dan ditandakan dalam kawasan masjid. Namun begitu, enklaf ini masih mengekalkan sedikit ciri kewilayahan dimana mempunyai pengaruh jama’ah[11] berautonominya sendiri dalam mengawal formasi bentuk bandar.
Kewujudan fizikal menara Masjid Melayu Lebuh Acheh (yang merupakan struktur tertinggi) beberapa tahun selepas pembinaan bangunan utama masjid telah bertindak sebagai mercu tanda bagi keseluruhan kawasan enklaf secara khususnya dan ’kawasan selatan’ amnya. Masjid Melayu Lebuh Acheh yang dilengkapi dengan menara bersegi lapan, kolah wuduk, anjung, perigi, dan kawasan makam, adalah mencerminkan gabungan pengaruh senibina Moorish, Cina dan Neo-classical.
Di suatu bahagian di hujung Jalan Masjid Kapitan Keling (dahulu Pitt Lane) menghadap ke arah Lebuh Acheh kekal terdapat sudut yang tidak dapat dilupakan.[12] Di sini adanya vista yang indah, dengan pandangan Tokong Yap Kongsi di latar depan, ia mengarah kepada bertingkat secara jujukan dan penyempitan (narrowing down) kelebaran jalan, dan dalam luar (ins and outs) fasad sehingga semua garis pandangan bertumpu pada menara Masjid Melayu Lebuh Acheh, latar belakang lautan bumbung atap terra-cotta rumah kedai membuat penamat kepada yang vista indah ini.[13] Selain itu, bukanlah suatu yang sukar untuk menyatakan Lebuh Acheh yang terletak di dalam kawasan enklaf adalah satu-satunya jalan di ‘kawasan selatan’ yang disambungkan ke barat, menghimpit Lebuh Carnarvon. Walaupun secara relatifnya jalan tersebut adalah sempit tetapi tetap penting dalam proses formasi bandar George Town.
Enklaf Pekan Melayu-Muslim telah menyaksikan pelbagai jenis aktiviti perdagangan termasuk perniagaan rempah ratus, bazar pakaian dan barangan kemas, kedai-kedai makanan malah aktiviti perniagaan berkaitan agama Islam seperti pengurusan haji dan percetakan kitab agama Islam. Enklaf ini pernah dikenali sebagai ‘Jeddah Kedua’ kerana di kawasan ini pernah menyaksikan ratusan bakal-bakal haji dari utara semenanjung Malaysia, utara Sumatera dan selatan Thailand berkumpul sebelum berlepas ke tanah suci Mekah.[14] Selain menjadi pusat perniagaan Melayu-Muslim dan pusat pengurusan haji, kawasan ini turut menjadi pusat pengajian agama Islam yang terulung di Pulau Pinang. Terdapat beberapa buah kediaman di dalam Enklaf pernah didiami oleh golongan ulama dan agamawan bagi mengajar agama Islam kepada masyarakat tempatan. Apabila ditinjau kembali, perpindahan populasi masyarakat Melayu-Muslim pada dekad yang lalu telah merubah penempatan ini daripada sebuah Enklaf Muslim, yang tinggi kepadatan masyarakat Muslim-nya, menjadi ‘domain budaya’ bagi masyarakat Melayu-Muslim Pulau Pinang.
![]() |
Foto 1.4: Keadaan semasa di dalam kawasan Masjid Melayu Lebuh Acheh selepas kompleks masjid ini dipulihara oleh Jabatan Warisan Negara. |
Foto 1.5: Gedung Acheh atau Rumah Tinggi antara struktur tertinggi yang dimiliki oleh pengasas Pekan Melayu-Muslim, Tengku Syed Hussain. |
Foto 1.6: Rumah Syed Al-Attas adalah kediaman milik Syed Mohammad Al-Attass iaitu salah seorang pemimping masyarakat di Lebuh Acheh, dan kini kediaman beliau menjadi Muzium Islam Pulau Pinang. |
Enklaf Kongsi Cina
Enklaf Kongsi atau Rumah Suku Cina dibentuk dengan pelbagai nuklues disekitar masjid asal (Masjid Melayu Lebuh Acheh). Diantara enklaf-enklaf tersebut terdapat aliran dan sirkulasi di skala tempatan dan dikawal dalam ‘kewilayahan’. Kedudukan kelima-lima suku cina utama di kawasan bandar dalam George Town adalah terletak semuanya di luar tetapi masih berhampiran daripada kawasan grid asal kolonial. Ianya bukanlah secara kebetulan. Dalam formasi bandar ini, Lebuh Acheh adalah paksi bagi pergerakan tersebut. Selain Yeoh yang terletak di Lebuh Chulia, kongsi yang lain terletak di ‘kawasan selatan’ bandar dalam. Di utara sekali, blok besar yang terletak dalam ‘kawasan selatan’ terdapat dua buah enklaf kongsi iaitu Yap dan Cheah. Blok besar kedua yang terletak di tengah kawasan terdapatnya Khoo Kongsi, manakala blok besar ketiga yang terletak di selatan sekali, terdapatnya Tan Kongsi. Setiap blok bandar di ‘kawasan selatan’ kebiasaannya mempunyai ciri-ciri ruangan utama tersendiri responsif terdapat keperluan khusus bagi sosialiti penghuni orang suku atau kelompok etnik.
Rupabandar Enklaf Kongsi
Ciri rupa bandar bagi setiap kawasan adalah hasil daripada proses tersendiri masing-masing, dan pada kebanyakkan kes, proses telah menurun fizikal dan pengendalian autonomi. Elemen gerbang dan dinding di enklaf kongsi, kedua-duanya gambaran sempadan, tetapi dengan sifat dwi fungsi gerbang, ia mengundang untuk menyeberangi sempadan tersebut.[15] Keindahan gerbang masuk enklaf ini seolah-olah sentiasa memindahkan kepada pengunjung suatu perasaan ingin tahu untuk mengharungi pengalaman ‘sana-sini’ (here and there). Dan sedemikian ruang ‘neutral’ adalah di gerbang. ‘Perumah’ imaginasi bagi ‘pelawaan’ tersebut adalah tidak padan dengan ‘subjektiviti’, dan seterusnya ciri kewilayahan.[16] Ketidakpadanan tersebut secara tidak langsung boleh meningkatkan pengalaman bagi ‘menyeberangi sempadan’.[17] Di kawasan gerbang (yang mana ruang terbezakan antara sifat ‘kami dan anda’)[18], subjektiviti pemilikan dan kawalan kawasan telah menyokong keadaan tersurat pelawaan dimana kawasan tersebut telah terdapatnya suatu kewilayahan. Selain menjadi titik masuk, kekuatan gerbang secara amnnya adalah identiti kewilayahan.
Kewujudan fizikal Enklaf Kongsi (termasuklah Khoo, Cheach, Tan dan kongsi lain) dimana kompleks-kompleks bangunan yang mengagumkan tersembunyi dibelakang barisan rumah kedai di jalan-jalan dalam kawasan selatan. Sesuatu yang istimewa mengenai enklaf ini ialah kewujudan lokasi yang tidak dijangka bermula daripada gerbang masuk kepada pusat kewilayahan kongsi. Jelas dalam kes ini beberapa prinsip rekabentuk bandar digunakan iaitu recession, intricacy, anticipation, dan juga here and there.
Rajah 1.5: Illustrasi pemandangan dan massing salah satu enklaf kongsi yang terdapat di kawasan selatan iaitu Kompleks Khoo Kongsi |
Di tengah kewilayahan kongsi yang mana boleh diakses melalui gerbang, terdapat medan terbuka yang luas samada diturap atau berumput, dengan saiz yang boleh menampung beratus orang suku semasa perayaan komunal (bersama). Ruang ini diatur dengan baik dan memuncak di tokong ‘kongsi’, dalam kes tertentu kemuncak dilengkapkan dengan teater menghadap ke tokong. Komposisi senibina tokong, pelantaran tokong, dan teater secara jelas upacara, dengan persembahan teater (opera) ditujukan untuk penyembahan dewa. Jenis komposisi paksi ini boleh dilihat di rumah suku di Tanah Besar China dan juga penempatan pulau seperti di Taiwan.[19] Tetapi terdapat perbezaan prototaip tokong kongsi dimana ia bukan sahaja memelihara tablet moyang tetapi utamanya adalah tuhan kewilayahan. Dalam kes kompleks Khoo Kongsi, dua daripada tiga kebuk suci (chamber) adalah ditujukan kepada dewa-dewi.[20]
![]() |
Foto 1.7: Medan terbuka yang terdapat di hadapan tokong kongsi. Sumber: www.khookongsi.com. |
![]() |
Foto 1.8: Senibina bangunan Tokong Khoo Kongsi adalah hasil integrasi gaya senibina tempatan dan senibina selatan Fujian, China. Sumber: www.khookongsi.com.my |
Dalam kes kompleks Khoo Kongsi, menuju ke pelantaran tokong ‘kongsi’ terdapat beberapa gerbang masuk yang strategik. Dengan gerbang-gerbang tersebut terdapat tenaga kewilayahan yang tinggi boleh diletakkan. Hari ini terdapat tiga gerbang yang masih selamat daripada kejadian rusuhan jalanan yang berlaku pada masa lampau, tetapi hanya sebuah sahaja boleh diakses daripada Lebuh Pantai (dahulu Beach Street) yang menjadi pintu masuk formal. Wilayah kongsi mengandungi kedua-dua dimensi sejarah dan geografikal kewilayahan.
Foto 1.9, 1.10 dan 1.11: Adalah gerbang-gerbang masuk strategik kompleks Khoo Kongsi daripada pelbagai arah seperti dari Lebuh Pantai, Lebuh Cannon dan Lebuh Armenian. Sumber: www.khookongsi.com.my |
Kota Bandung, Jawa Barat – Ruang ‘Alun-alun’ di Pusat Bandar Kota Bandung
Ruang bandar alun-alun merupakan ciri unik fabrik bandar yang membentuk karekter bandar-bandar Indonesia terutamanya di Jawa. Alun-alun Kota Bandung yang merupakan sebuah ruang terbuka awam yang terletak di tengah-tengah pusat bandar lama Kota Bandung. Ruang ini sering dianggap sebagai nuklues hijau, lompang (void) atau ruang bernafas bandar disamping memberi bentuk kepada pasang surut peubahan manusia. Ruang alun-alun adalah sebuah lapangan rumput persegi empat yang luas, yang dikelilingi oleh pokok beringin di tengahnya, berhadapan dengan kediaman Bupati (penguasa).[21] Dari segi signifikan sejarah, kewujudan ruang alun-Alun di bandar-bandar lama Jawa berkait rapat dengan proses pembukaan sesebuah bandar itu sendiri. Selain itu, perkembangan ruang bandar tradisional ini berkait rapat dengan evolusi budaya masyarakat bandar tersebut yang meliputi nilai murni, pentadbiran, kepercayaan, ekonomi dan lain-lain.
![]() |
Foto 1.13: Pemandangan Alun-alun daripada bangunan menara pejabat BRI pada tahun 1999. Sumber: bandungsae.com |
Bentuk Bandar dan Alun-alun
Pembentukan formasi bandar di bandar-bandar lama Jawa didasari daripada konsep susun atur kompleks kraton (istana Jawa). Hubungan antara kepercayaan dengan kompleks kraton[22] pula sangat berkait rapat. Kraton yang merupakan pusat pemerintahan bagi masyarakat lampau dianggap sebagai miniatur daripada makrokosmos (alam semesta).[23] Bagi kepercayaan masyarakat agraria (masyarakat kerajaan purba Jawa seperti Majapahit, Mataram), manusia yang beragama kebiasaannya membahagikan ruang menjadi kepada dua jenis, iaitu ruang yang sakral (disucikan) atau homogen, dan ruang yang inhomogen atau yang tidak teratur (disebut profan).[24] Kewilayahan kraton selalu dianggap sebagai kawasan yang homogen (Sakral), yang teratur atau perlu diatur.[25] Peterjemahan daripada keinginan inilah yang mewujudkan konsepsi ruangan dalam susun atur sebuah kompleks kraton dan seterusnya diterjemahkan pula kepada susun atur bandar.[26] Dalam sistem Kerajaan Mantaram terdapat empat peringkat kewilayahan iaitu;[27]
1-Daerah teras yang disebut Negara atau Kuthagara,
2-Negara Agung,
3-Mancanegara, dan
4-Pasisir.
Alun-alun pada era sebelum kolonial-Belanda berfungsi sebagai perlambangan kewujudan sistem kedaulatan (kekuasaan) raja terhadap rakyat jelatanya, tempat diadakan upacara keagamaan (wujudnya hubungan antara kraton-masjid dan alun-alun) dan kebudayaan, dan tempat pertunjukkan kekuasaan ketenteraan (yang bersifat profan).[28] Konseptual susun atur ruangan kompleks Kraton Surakarta dan Yogyakarta telah dijadikan prototaip dalam merancang susun atur bandar-bandar Jawa yang baru.[29]
Ciri-ciri utama konsep perancangan bandar-bandar tradisional Jawa terdiri daripada tiga komponen utama. Pertama, Alun-alun sebagai pusat kota (bandar) dengan pokok beringin di tengahnya. Kedua, kraton atau pendopo[30] kabupaten[31] (regensi) di bahagian selatan Alun-alun. Ketiga, masjid agung di bahagian barat Alun-alun.[32] Kawasan perkampungan masyarakat pula terletak di kawasan sekitar komponen-komponen utama ini. Dilihat alun-alun, kraton dan masjid mempunyai konsep keselarasan yang jelas, yang mana komplek tersebut memang merupakan wujud daripada konsep keselarasan antara mikrokosmos dan makrokosmos, yang diterapkan dalam kehidupan seharian masyarakat Jawa.[33]
Ruang Alun-alun Kota Bandung telah wujud sejak awal pembentukkan Kota Bandung itu sendiri. Kota Bandung yang dibuka oleh R.A Wiranatakusumah[34] pada awal pembentukkannya telah disusun atur menjadi sebuah perkampungan dengan susunan bandar tradisional Jawa. Penempatan tersebut memiliki ciri-ciri komponen dalam konsep perancangan bandar tradisional Jawa iaitu alun-alun di tengah pusat petempatan, pendopo bupati di bahagian selatan alun-alun (berfungsi sebagai pusat pentadbiran kabupaten), masjid agung di bahagaian barat.[35] Di bahagian timur Alun-alun Kota Bandung pula terdapat komponen lain iaitu struktur paseban (yang dipanggil Bale’ Bandung-seperti dewan bandaran) yang berfungsi sebagai tempat pertemuan ketua-ketua daerah bawahan bupati.[36] Walau bagaimanapun, terdapat unsur ‘bandar kraton’ yang tiada di dalam formasi bandar Kota bandung iaitu Alun-alun Kota Bandung tidak dilengkapi sitinggil[37] seperti alun-alun bandar kraton. Selain itu, terdapat rangkaian jalan disekitar Alun-alun Kota Bandung iaitu sebatang jalan kecil (lebuh) dibina di sebelah kiri (kini Jalan Dewi Sartika), kanan (kini Jalan Balong Gede) dan belakang pendopo.[38] Di antara pendopo dan alun-alun terdapat sebuah jalan (kini Jalan Dalem Kaum) yang memisahkan kedua-duanya, dan di utara Alun-alun terbentang Jalan Raya Pos (kini Jalan Asia-Afrika).[39] Di sebelah barat daya Alun-alun Kota Bandung terdapat kepatihan (kediaman Patih-pembantu Bupati) dan di belakang kepatihan (kawasan Ciguriang) ini kemudiannya dibina sebuah pasar tradisional.[40]
Transformasi bentuk Alun-alun Kota Bandung telah memperlihatkan kesinambungan konsep pemikiran penataan susun atur bandarnya.[41] Bagaimanapun kolonial-Belanda berjaya menyisipkan beberapa unsur baru dalam pola bandar tradisional ini, iaitu di kawasan sebelah utara dari alun-alun didirikan banyak bangunan pentadbiran milik Belanda atau syarikat Eropah, sebagai contoh di sisi barat laut Alun-alun Kota Bandung didirikan pejabat pos dan tidak berapa jauh ke utara sekitar (Jalan Watsukencana sekarang) terdapat loji.[42] Jelas dalam proses awal formasi bandar Kota Bandung, alun-alun bukan sahaja menjadi ruang bandar yang kebetulan tetapi jantung kepada sesebuah bandar.
Alun-alun Kota Bandung adalah pentas di mana drama kehidupan masyarakat Bandung terungkap dengan hubungan simbiosis antara kompleksiti struktur bandarnya. Hari ini, butir pembangunan coarser grain dapat dilihat melalui alun-alun dan kawasan sekitarnya dengan kehadiran besar struktur padu (solid) berbanding lompang (void)-kawasan lapang. Pertumbuhan penduduk dan pembangunan telah merubah intensiti kawasan daripada densiti rendah kepada sederhana. Di sisi utara Alun-alun Kota Bandung memaparkan visual pelbagai gaya senibina menarik seperti Art Deco, Electic, dan Indisch pada bekas bangunan-bangunan di era kolonial-Belanda. Pendirian menara pejabat Bank BRI di hadapan alun-alun sedikit sebanyak telah menghalang vista menarik ke arah Gunung Tangkuban Parahu. Di bahagian selatan pula terdapat pendopo, yang sekarang menjadi sebahagian kediaman rasmi Wali Kota (Datuk Bandar) Bandung dengan gaya senibina tradisional Kudus. Di dalam kawasan kediaman ini terdapat sebuah laman hijau bersegi empat dengan sebatang pokok beringin di tengah-tengahnya, seolah-olah memperlambangkan mini alun-alun asal. Di bahagian timur pula yang dahulunya lokasi paseban telah dibangunkan dengan bangunan gedung perniagaan tetapi operasi perniaagan di gedung tersebut tidak kekal lama.
Pada tahun 2004,[43] ruang alun-alun yang bersejarah ini telah berubah secara radikal sifat fizikalnya yang mana projek pembesaran masjid agung (kini dikenali Masjid Raya Bandung) telah mengambil sedikit ruangan bahagian kawasan alun-alun di sisi barat dan juga keseluruhan besar jalan yang pernah memisahkan kedua-dua komponen utama pusat bandar lama itu. Masjid agung yang secara asalnya terletak di sebelah barat Alun-alun Kota Bandung. Pembesaran kawasan agung ini bagi pengunjung kelihatan seolah-olah telah merubah pola struktur alun-alun menjadi sebahagian daripada laman hadapan masjid agung. Bersangkutan dengan pembesaran masjid agung, Alun-alun Kota Bandung turut dinaiktaraf dengan tanah alun-alun digali dan dibina parkir bawah tanah di dalamnya dan di atas parkir itu dibina platform konkrit bagi menggantikan lapangan asal. Lapangan baru ini diperkemaskan dengan skap lantai (floorscape), lanskap dan termasuk pancuran air bagi mewujudkan semula rasa beristirehat (sense of repose) sebuah lapangan atau plaza terbuka.
Dari segi visual, Masjid Raya kelihatan monumental berbanding bangunan sekitar tetapi pembesaran yang lebih berbentuk piece-meal ini telah membuatkan Masjid Raya tidak kohoren dengan latar hadapan. Dengan kata lainnya, projek pengindahan telah secara tidak langsung telah merubah pendekatan psikologi masyarakat terhadap ruang terbuka baru ini. Siri evolusi Alun-alun Kota Bandung ini telah membawa pelbagai pengertian senibina dan perancangan bandar dengan mana alun-alun adalah struktur ruangan bandar yang penting dalam identiti tradisional Kota Bandung.
Rujukan
- A. Ghafar Ahmad. 1998. Pemuliharaan Masjid Melayu Lebuh Acheh, Georgetown, Pulau Pinang. Penang Past & Present. Disember 1998.
- A.Sobona Hardjasaptra. 2002. Perubahan Sosial Di Bandung 1810-1906. Disertasi Dr. Falsafah, Fakultas Sastra. Universitas Indonesia.
- Behrend, T.E .1982. Kraton and Cosmos In Traditional Java. Tesis M.A. University of Wisconsin-Madison.
- Chen Kuo-wei. 2002. Meaning in Architectural and Urban Space of the Penang Kongsi Enclave. Kertas Kerja Seminar Antarabangsa-Pengkisahan Pulau Pinang. Anjuran Badan Warisan Pulau Pinang dan The Star Publication. 18-21 April 2002.
- Handinoto. 1992. Alun-Alun sebagai Identitas Kota Jawa, Dulu Dan Sekarang. September 1992.
- Madanipour 1996. Design of Urban Space: An inquiry into a socio-spatial process. New York: Wiley.
- Noriah Mohamed et. al. 2006. Sejarah Awal Pulau Pinang. Laporan Hasil Penyelidikan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan. Universiti Sains Malaysia.
- Paulus, J. 1917. Encyclopedie van Nederland Indie, Twee Druk, Martinus Nijhoff, S’Gravenhage, NV v/h E.J. Brill: Leiden.
- Yulian Firdaus 2008. Alun-alun Bandung. http://myboxfile.blogspot.com [20 December 2010].
Sumber Foto
- www.tripadvisor.com
- www.panaramio.com
- google earth
- www.igeorgetownpenang.com
- www.penang-traveltip.com
- www.hbp.usm.my
- www.khookongsi.com.my
- www.badanwarisan.org.my
- www.bandungsae.com
- masoye.multiply.com
- liceknoil.wordpress.com
- djawatempodoeloe.multiply.com
- actadiurnablog.blogspot.com
[1] Madanipour 1996. Design of Urban Space: An inquiry into a socio-spatial process, New York: Wiley, hlm.34
[2] Kongsi ialah kumpulan yang terdiri daripada beberapa individu daripada kelompok dailek atau kesukuan yang sama, dan mempunyai semangat keakraban dan persaundaraan diantara mereka.
[3] Melayu-Muslim dalam konteks ini merujuk kepada orang Melayu peribumi dan termasuk juga dari Acheh, Boyan yang beragama Islam, orang Tamil-Islam, Arab dan lain-lain golongan peranakan yang beragama Islam.
[4] Chen Kuo-wei 2002. Meaning in Architectural and Urban Space of the Penang Kongsi Enclave. 21 April 2002, hlm.7
[5] Ibid., hlm.7
[6] Ibid., hlm.7
[7] Kawasan selatan adalah kawasan yang terletak di bahagian selatan sekali dalam kawasan zon warisan teras, tapak warisan UNESCO George Town.
[8] Noriah Mohamed et. al 2006. Sejarah Awal Pulau Pinang, hlm.38
[9] Tengku Syed Hussain merupakan seorang pedagang Acheh-Arab dan juga mengakui dirinya adalah ahli kerabat diraja daripada Acheh.
[10] Chen Kuo-wei 2002. Meaning in Architectural and Urban Space of the Penang Kongsi Enclave. 21 April 2002, hlm.7
[11] Jama’ah dalam konteks ini persatuan sulit berbentuk gerakan bawah tanah dianggotai oleh kebanyakkannya masyarakat Muslim di George Town suatu ketika dahulu.
[12] Chen Kuo-wei 2002. Meaning in Architectural and Urban Space of the Penang Kongsi Enclave. 21 April 2002, hlm.5
[13] Ibid., hlm.5
[14] A. Ghafar Ahmad 1998. Pemuliharaan Masjid Melayu Lebuh Acheh, Georgetown, Pulau Pinang; dalam ‘Penang Past & Present’. Disember 1998. hlm.27
[15] Chen Kuo-wei 2002. Meaning in Architectural and Urban Space of the Penang Kongsi Enclave. 21 April 2002, hlm.8
[16] Ibid., hlm.8
[17] Ibid., hlm.8
[18] Ibid., hlm.8
[19] Ibid., hlm.8
[20] Ibid., hlm.8
[21] Paulus, J. 1917, Encyclopedie van Nederland Indie, Twee Druk, Martinus Nijhoff, S’Gravenhage, NV v/h E.J. Brill :Leiden.
[22] Kraton adalah daerah di mana seorang raja (penguasa) memerintah ataupun istana tempat tinggalnya.
[23] Handinoto 1992, Alun-Alun sebagai Identitas Kota Jawa, Dulu Dan Sekarang. September 1992, hlm.3
[24] Ibid., hlm.3
[25] Ibid., hlm.3
[26] Ibid., hlm.3
[27] Ibid., hlm.11
[28] Ibid., hlm.8
[29] Ibid., hlm.13
[30] Pendopo adalah struktur seperti anjungan yang luas yang berfungsi seperti dewan tempat penguasa tempatan daerah di Jawa menjalankan urusan pentadbirannya.
[31] Kabupaten adalah tahap hierarki pentadbiran sub-daerah di Indonesia
[32] A.Sobona Hardjasaptra 2002. Perubahan Sosial Di Bandung 1810-1906: Disertasi doktor falsafah Universitas Indonesia, hlm.66-67
[33] Ibid., hlm.13
[34] Ibid., hlm.24
[35] Ibid., hlm.56
[36] Ibid., hlm.57
[37] Sitinggil sebuah struktur dengan lantai lebih tinggi daripada tanah yang dibina di atas alun-alun.
[38] Ibid., hlm.57
[39] Ibid., hlm.57
[40] Ibid., hlm.57
[41] Handinoto 1992, Alun-Alun sebagai Identitas Kota Jawa, Dulu Dan Sekarang. September 1992, hlm.13
[42] Loji ialah pejabat pembantu residen/kontrolir sebelum kawasan ini dibangunkan semula sebagai Balai Kota.
[43] Yulian Firdaus 2008. Alun-alun Bandung. myboxfile.blogspot.com. 11 Julai 2008







